Tuesday, August 09, 2011

KDH

KOLEJ DAR AL-HIKMAH 


PENGENALAN

 Kolej Dar al-Hikmah (KDH) dahulu dikenali sebagai Institut Pengajian Ilmu-Ilmu Islam (IPI). Ia mula beroperasi pada tahun 1989 dan merupakan kolej swasta Islam yang terawal  ditubuhkan di Malaysia.

   Perubahan nama kepada Kolej Dar al-Hikmah (KDH) berkuatkuasa pada 1 Muharram 1423/15 Jun 2002. KDH bernaung di bawah Syarikat Bina Ilmu Sdn. Bhd milik Angkatan  Belia Islam Malaysia (ABIM) Dan Koperasi Belia Islam (KBI).

   Penubuhan KDH adalah sebagai penerusan program tarbiyah dan dakwah ABIM yang bermula daripada Taman Asuhan kanak-kanak Islam (TASKI), Sekolah Rendah Islam (SERI)  dan Sekolah Menangah Islam (SEMI). Matlamat KDH adalah untuk membangun tradisi ilmu memugar kegemilangan Tamadun  Islam dan menjadikan Islam sebagai cara hidup.

   Bagi memenuhi hasrat itu KDH menyediakan kursus-kursus asas Islam sebagai subjek wajib kolej dan menggabungkannya dengan program profesional/akademik untuk  melahirkan sumber manusia yang beriman, berilmu, berketrampilan, berakhlak, komited dan berdaya maju.



VISI
  • Institusi Pengajian Tinggi Yang Unik, Cemerlang dan Terbilang. 

MISI

  •  Menyediakan pendidikan bersepadu di peringkat pengajian tinggi.
  •  Melaksanakan tarbiah yang lengkap dan seimbang jasmani, aqli dan rohani.
  •  Membina generasi yang bertaqwa, berketrampilan, relevan dan komited.




ALUAN PRESIDEN

Sebagai IPTS yang terjelma dari nyala semangat memartabatkan pendidikan anak bangsa, Kolej Dar al-Hikmah (KDH) kini mampu menawarkan kualiti pendidikan yang  mencapai piawai badan pengakreditasian.
   Kursus-kursus yang ditawarkan sentiasa dikemaskini dan dikembangkan sesuai dengan misi pemerkasaan generasi abad 21 dengan ilmu yang relevan. Selain menawarkan  kursus-kursus profesional KDH membina warganya menerusi penghayatan budaya kolej yang berasaskan nilai-nilai murni keagamaan.
   
KDH memang selamanya setia dengan iltizam pembinaan generasi terdidik yang berketrampilan  dan sekaligus memiliki kesedaran keinsanan, keislaman dan kewarganegaraan.   
   Kampus KDH dengan lokasinya yang strategik memungkinkannya menyediakan suasana pembelajaran yang kondusif-damai, tenang dan bebas dari gangguan hiruk-pikuk kekotaan. Kehadiran anda kami tunggu dengan ramah, mesra dan ceria.

  Dato’ Dr. Siddiq Fadzil,
  Presiden Kolej Dar al-Hikmah